Nov 30, 2011

Bab 6 : WALIMAH AL-URUS

PENGERTIAN WALIMATUL ‘ARUS
  • Walimatul ‘arus ialah kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.
  • Walimah ialah jamuan agama, bukan jamuan adat kebiasaan yang dibuat kerana Allah, bukan jamuan kebanggaan dan bukan sumber untuk mendapat keuntungan duniawi.
PENSYARI‘ATAN WALIMATUL ‘ARUS
  • Mengadakan majlis walimah adalah sangat digalakkan dalam Islam.
  • Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam:
Maksudnya:
Abdul Rahman bin ‘Awf melakukan perkahwinan, maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Hendaklah anda mengadakan walimah walaupun dengan seekor kambing." (Al-Hadith)

TUJUAN WALIMATUL ‘ARUS

  • Tujuan mengadakan walimah adalah untuk mengumumkan pernikahan di samping menggembirakan pengantin yang baru menjejaki jinjang pelamin dan ia juga sebagai tanda kegembiraan orang tua kerana mendapat menantu baru. Pengumuman yang sebaik-baiknya ialah majlis perkahwinan yang diadakan di masjid dan dipukul gendang dan rebana.

"Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan pukullah gendang dan rebana pada hari perkahwinan itu." (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
  • Oleh yang demikian, dalam meraikan kegembiraan tersebut adalah penting bagi kita untuk membezakan antara adat dengan ibadat yang perlu dipatuhi. Tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk mengikut adat resam sesebuah kaum asalkan adat itu tidak bertentangan dengan syara‘.
  • Islam menggalakkan hiburan yang sederhana dan sopan dengan menggariskan beberapa syarat seperti berikut:
1. Tiada pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita yang bukan mahram.
2. Nyanyian dan muzik yang tidak menimbulkan nafsu.
3. Tidak melalaikan ingatan dan kewajipan terhadap Allah subhanahu wata‘ala.
4. Senikata nyanyian tidak mengandungi perkataan-perkataan yang cabul atau tidak sopan.

HUKUM MENGADAKANNYA

Hukum mengadakan kenduri kahwin ini adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Kata Nabi s.a.w. kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu beliau berkahwin, hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin sekalipun hanya menyembelih seekor kambing".

HUKUM MENGHADIRINYA

Menerima jemputan ke majlis perkahwinan adalah wajib terhadap setiap orang yang dijemput kecuali ada sesuatu keuzuran. Tidak dapat menghadirinya disebabkan sakit atau sebagainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila kamu dijemput untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, hendaklah kamu menghadirinya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

SYARAT WAJIB KE MAJLIS KENDURI KAHWIN APABILA DI UNDANG

i) Yang dijemput itu bukan khusus kepada orang yang kaya sahaja.
ii) Di dalam majlis walimah tersebut, tidak ada seorang pun terdiri dari musuhnya.
iii) Didalam majlis walimah itu, tidak ada perkara yang mungkar dan maksiat seperti arak, judi dan joget.
iv) Tiada bercampur gaul didalam majlis itu dengan perempuan-perempuan yang bukan mahramnya.
v) Tiada bersamaan atau bertembung dalam majlis tersebut dengan tetamu yang bukan Islam.
vi) Peralatan makan dan minum tidak daripada barang yang diharamkan seperti emas, perak dan sutera.
vii) Tidak diketahui akan wang perbelanjaan itu dari yang haram.
viii) Jika dijemput datang pada majlis walimah tersebut selama 2 hari berturut-turut, maka hanya wajib datang 1 hari sahaja.
ix) Yang menjemput itu dan yang dijemput itu adalah beragama Islam.

Bab 5 : MAS KAHWIN (MAHAR)

1. PENGERTIAN MASKAHWIN (MAHAR).

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka". (Surah An-Nisaa' - Ayat 4)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi." ( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah". (Riwayat Abu Daud)

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya". (Riwayat Ahmad)

2. BAHAGIAN-BAHAGIAN MAHAR :

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

3. HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AQAD NIKAH:

i ) Wajib.

a. Jika bakal isteri itu seorang budak yang masih kecil, gila atau bodoh sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya (Mahar Misil).

b. Jika bakal isteri yang sudah baligh bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan maskahwinnya.

c. Jika bakal suami itu tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri seperti masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang daripada mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui. Maksud wajib disini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatutnya (Mahar Misil).

ii ) Sunat.

Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya semasa akad, apabila ia menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya semasa akad berlangsung dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan, berhubung dengannya, disamping dapat membezakan diantara perkahwinan biasa dengan perkahwinan pada seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa mahar. Sekiranya mahar tidak di sebut dimasa akad, tidaklah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika mahar itu tidak disebut.

4. WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin itu wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut didalam akad jika dinyatakan dimasa akad dan maskahwin itu wajib dibayar dengan keadaan-keadaan yang berikut:-

i) Apabila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian isteri berhak melarang atau meghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya sama ada dengan cara tunai atau hutang, jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu.

ii) Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadi menentukannya akan maskahwin tersebut, hendaklah dibayar tunai (tidak boleh hutang).

5. GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah ta'ala Yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya, maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Gugur separuh maskahwin sekiranya perceraian ini berlaku berpunca dari pihak suami, seperti suami jadi murtad atau suami menganut Islam dan isterinya tidak. Tetapi sekiranya berlaku perceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

6. MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak waris si suami wajib membayar maskahwin itu sepenuhnya kepada bekas isterinya dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada waris bekas isterinya jika maskahwin itu belum dijelaskan lagi.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud:

"Dari Alqamah katanya seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwin pun belum ditentukan kadarnya. Kata Ulqamah, mereka mengadu hal tersebut kepada Abdullah, maka Abdullah berpendapat perempuan itu berhak mendapat mahar misil sepenuhnya, dan perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula dengan bereddah. Maka ketika itu Ibnu Ma'kul bin Sanan Al- Saja'i menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memutuskan terhadap Baraq bin Wasaq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi". (Riwayat Al-Tarmidzi)

7. MUT'AH

Mut'ah bererti satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini adalah wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri. Banyaknya pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya sama ada kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar.

Firman Allah: Ertinya : Tenangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. (Surah Al-Ahzab ayat 49)

Bab 4 : WANITA-WANITA YANG HARAM DIKAHWINI

1. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian:

i. Haram buat selamanya.
ii. Haram buat sementara waktu.

2. Sebab-sebab haram dikahwini:

i. Haram dengan sebab keturunan. 
ii. Haram dengan sebab susuan.
iii. Haram dengan sebab persemendaan. (Musyaharah)

3. Haram dengan sebab keturunan:

i. Ibu dan nenek hingga ke atas.
ii. Anak dan cucu hingga kebawah.
iii. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
iv. Ibu saudara sebelah bapa (adik beradik perempuan sebelah bapa) hingga ke atas. 
v. Ibu saudara sebelah ibu (adik-beradik perempuan sebelah ibu) hingga ke atas. 
vi. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah. 
vii. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. - Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

4. Haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang menyusukan.
ii. Saudara perempuan sesusuan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- sudara kamu sepersusuan". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 23 )

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan ". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.

5. Syarat-syarat haram dengan sebab susuan :

i. Ibu yang telah menyusukan itu telah baligh. 
ii. Anak yang disusukan itu berusia dua tahun. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun". (Riwayat DaruQutni)

iii. Bilangan menyusu sampai lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Adalah pada ayat yang diturunkan daripada Al-Quraan ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja". ( Riwayat Muslim )

iv. Susu yang diberi kepada kanak-kanak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-limanya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Tidak diharamkan berkahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun".

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.

6. Haram yang disebabkan persemendaan ( Musyaharah ) :

i. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan. 
ii. Ibu tiri atau nenek tiri hingga ke atas.
iii. Menantu perempuan ( isteri anak ) atau isteri cucu hingga ke atas.
iv. Anak tiri dengan syarat sudah mensetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan maka tidak haram mengahwini anak tirinya itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan diharamkan ibu isteri kamu dan anak tiri yang di dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi , maka jika ibunya belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengahwini anak tiri itu dan begitu juga haram mengahwini isteri anak kamu yang sejati". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 23 )

Dan firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

"Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu ( ibu tiri )". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

7. Perempuan-perempuan yang haram dikahwini buat sementara waktu dengan sebab menghimpunkannya :

i. Saudara perempuan sebelah isteri. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Dan haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu ". ( Surah An- Nisaa' - Ayat 23 )
ii. Anak saudara isteri sebelah bapa. 
iii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iv. Anak saudara isteri dari saudara lelaki. 
v. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapa dan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelaki dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar ". ( Riwayat At -Tirmidzi )

Rujukan : Kitab Mathla'al Badrain - Muhammad bin Ismail Daud bin Al-Fathani.

Bab 3 : KHIAR DALAM PERKAHWINAN

1. Khiar bermaksud salah satu pihak samada suami atau isteri mempunyai hak untuk memilih di antara diteruskan nikahnya atau fasakh.

2. Apabila berlaku pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak diketahui ada cacat-celanya, maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar.

3. Bagi lelaki yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara iaitu:

a) Gila.
b) Jazam. ( penyakit kusta )
c) Barash. ( penyakit sopak )
d) Zakar yang terpotong semua sekali atau separuh.
e) 'Unnah ( mati pucuk )

4. Bagi perempuan yang membolehkan khiar padanya ada lima perkara:

a)Gila.
b)Jazam. (penyakit kusta)
c)Barash (penyakit sopak)
d)Rutaqa' (faraj yang tersumbat dengan daging dan menghalang dari persetubuhan)
e)Qurana' (faraj yang tersumbat dengan tulang dan menghalang dari persetubuhan)

5. Jika berlaku salah satu daripada cacat-cela ini maka bolehlah kedua belah pihak atau salah satu daripadanya khiar, fasakh aqad nikah seberapa segera dengan syarat dilakukan khiar dihadapan Qadhi.

6. 'Unnah (mati pucuk) tidak dinafikan melainkan pengakuan dari suami sendiri di hadapan Qadhi atau dengan saksi yang menyaksikan ikrarnya atau dengan sumpah isteri jika suaminya enggan membuat pengakuan, maka ditetapkan bahawa ia mati pucuk, selepas itu Qadhi memberi tempoh setahun kepada suami supaya berubat. Apabila sudah setahun tempohnya jika ia tidak mampu mensetubuhi isterinya maka isteri mengadu kepada Qadhi maka diterima fasakhnya.

Bab 2 : KUFU DALAM PERNIKAHAN

1. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan.

2. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

3. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud : 

"Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana ".

4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : 

"Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa".

5. Kufu berpunca daripada lima sebab :
  • Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
  • Merdeka bukan hamba.
  • Keturunan.
  • Pekerjaan.
  • 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )

Bab 1 : PERNIKAHAN

1. Takrif Nikah :

i) Dari segi bahasa : Ikatan atau simpulan.
ii) Dari segi istilah Syarak : Suatu Ikatan atau akad yang menghalalkan pergaulan dan membatas hak dan kewajipan serta bertolong-tolong di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang di antara keduanya bukan mahram.

2. Perkahwinan adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. dan digalakkan di dalam Islam serta dituntut oleh Hukum Syarak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan dari golonganku". ( Riwayat Ibnu Majah )

3. Dalil yang menunjukkan bahawa perkahwinan itu dituntut oleh syarak adalah seperti berikut :
  • Dalil dari Al-Quran yang bermaksud : 
"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil( di antara isteri-isteri kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja". ( Surah An - Nisaa' - Ayat 3 ) 
  • Dalil dari As-sunnah yang bermaksud:
"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng". ( Riwayat Muslim )

Dari Ijmak Ulama : Semua ulama sepakat mengatakan bahawa hukum perkahwinan itu adalah dituntut oleh Hukum Syarak.

4. Hukum berkahwin itu ada empat :

1. Wajib - Orang yang cukup belanja dan tidak dapat menahan nafsunya. 
2. Sunat - Orang yang cukup belanja dan ingin berkahwin. 
3. Makruh - Orang yang cukup belanja tetapi tiada keinginan berkahwin.
4. Haram - Orang yang yakin tidak dapat melaksanakan tanggungjawab.

5. Rukun-rukun nikah :

1. Lelaki yang bakal menjadi suami.
2. Perempuan yang bakal menjadi isteri. 
3. Wali yang adil 
4. Dua orang saksi yang adil 
5. Ijab dan Qabul (Tawaran dan Penerimaan)

6. Syarat-syarat lelaki bakal suami :

1. Beragama Islam 
2. Tidak berihram haji atau umrah
3. Lelaki tertentu 
4. Belum mempunyai empat isteri 
5. Dengan kerelaan diri sendiri bukan paksaan 
6. Seorang lelaki (bukan khunsa musykil)

7. Syarat-syarat perempuan bakal isteri :

1. Beragama Islam. 
2. Perempuan yang tertentu.
3. Bukan Mahram kepada lelaki yang bakal menjadi suaminya
4. Bukan isteri orang dan tidak di dalam eddah orang lain.
5. Tidak berihram haji atau umrah.

8. Syarat-syarat wali :

1. Beragama Islam.
2. Seorang lelaki. 
3. Baligh.
4. Dengan kerelaan sendiri bukan paksaan. 
5. Tidak berihram haji atau umrah.
6. Orang yang adil ( tidak fasiq ). 
7. Seorang yang sempurna akalnya.

9. Syarat-syarat saksi :

1. Bilangannya tidak kurang daripada dua orang.
2. Beragama Islam. 
3. Berakal
4. Baligh 
5. Lelaki.
6. Sejahtera pancaindera (boleh melihat, mendengar, bertutur). 
7. Memahami isi-isi kandungan lafaz ijab dan qabul. 
8. Orang yang adil (tidak fasiq)

10. Sighah Ijab:

1. Sighah ijab hendaklah digunakan lafaz nikah atau dengan terjemahan daripada dua lafaz itu dalam apa jua bahasa.

2. Lafaz ijab boleh dibuat oleh wali itu sendiri atau wakilnya.

Contohnya : "Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku Fatimah bte Abdullah / berwakilkan wali bapanya kepadaku dengan maskahwinnya RM40.00 tunai ".

Sighah Qabul : Iaitu upacara penerimaan daripada lelaki sendiri ataupun wakilnya setelah selesai sighah ijab dengan tidak diselangi oleh apa-apa perkataan asing atau masa yang panjang.

Contohnya : "Aku terima nikah Fatimah bte Abdullah dengan maskahwinnya RM40.00 tunai" .

11. Tanggungjawab suami kepada isteri :

1. Pemberian maskahwin. 
2. Pemberian nafkah.
3. Berkelakuan baik. 
4. Memberi bimbingan. 
5. Menjaga kehormatan isteri. 
6. Memberi layanan zahir dan batin.
7. Melakukan keadilan sekiranya berpoligami.

12. Tanggungjawab isteri kepada suami :

1. Wajib taat kepada suaminya. 
2. Wajib tinggal di rumah yang dietapkan oleh suaminya. 
3. Wajib menjaga kehormatan dirinya. 
4. Wajib menjaga rumahtangganya. 
5. Tidak menolak panggilan suami jika dipanggil ke tempat tidur.

13. Tanggungjawab bersama suami dan isteri :

1. Halal pergaulan sebagai suami-isteri.
2. Suci benih keturunan. 
3. Wujud hak pusaka-mempusakai di antara keduanya. 
4. Sah taraf anak (keturunan) kepada suami. 
5. Kewajipan keduanya berlaku dalam pergaulan.
6. Bermesyuarat dan berbincang di dalam hal ehwal rumahtangga.
7. Berlaku adil di dalam segala bentuk kehidupan.

Sumber Rujukan :
1. Fiqh Imam As-Syafie - Hj. Idris bin Ahmad . 
2. Ringkasan Munakahat - Ibnu Rahmat .

Nov 15, 2011

Janji ALLAH SWT Untuk Mereka Yang Ingin Berkahwin

Apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita akan berkahwin, biasanya akan timbul pelbagai perasaan akan timbul. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu datangnya si pendamping. Bahkan ketika dalam proses taaruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan. Inilah khabar gembira berupa janji Allah bagi orang yang akan berkahwin. Bergembiralah wahai saudaraku…

1. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”. (An Nuur : 26)

Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.

2. “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An Nuur: 32)

Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya. Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.

Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.

Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?

3. “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)

Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah dalam hadits ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.

4. “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Ar Ruum : 21)

5. “Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’ “. (Al Mu’min : 60)

Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan sebagainya.

Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain – lain.

Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Diantaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan iqamah,

Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Diantaranya adalah makan dan minum dari sumber yang haram, dan berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah,

Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, dan mengakui bahawa Allah Maha Mendengar.

Sebahagian orang apabila jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya lancar. Cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:

“Barang siapa yang mendatangi peramal / dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam”. (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad).

Telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.” (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).

Telah bersabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.” (Hadis sahih riwayat Abu Dawud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim).

6. “Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat“. (Al Baqarah : 153)

Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi dan terbebas dari bid’ah-bid’ah.

7. “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. (Alam Nasyrah : 5 – 6)

Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surat Alam Nasyrah.

8. “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad : 7)

Agar Allah menolong kita, maka kita tolong agama Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan pengajian, dan sebagainya. Dengan itu semoga Allah menolong kita.

9. “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al Hajj : 40)

10. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al Baqarah : 214)

Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim.

Jadi, kenapa ragu – ragu dengan janji Allah?

Sumber : Ustaz Naim

Nov 11, 2011

PINJAM BANK UNTUK KAHWIN

Salam ustaz. saya mengikuti blog ustaz. nak tanya ustaz :

  1. Hukum buat pinjaman bank dengan tujuan untuk kahwin. Dengarnya kalau    buat pinjaman untuk kahwin, perkahwinan itu tidak berkat?
  2. Cara membuat pinjaman bank mengikut syara'? ustaz terangkan di blog ustaz ye.. timekasih
Jawapannya

Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.” (An-Nur : 32)

Hukum perkahwinan
  1. Wajib kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu. Disini mampu bermaksud ia mampu membayar mahar(mas berkahwinan) dan mampu nafkah kepad bakal isterinya. Dalam permasalahan ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kerana gusar penzinaan akan berlaku, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.
  2. Sunat kepada orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunya.
  3. Harus kepada orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.
  4. Makruh kepada orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan zahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, samaada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat.
  5. Haram kepada orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah batin dan zahir dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan menganiaya isteri jika dia berkahwin.
Hikmah Perkahwinan
  1. Cara yang halal untuk menyalurkan nafsu seks melalui ini manakala perzinaan liwat dan pelacuran sebagainya dapat dielakkan.
  2. Untuk memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman.
  3. Memelihara kesucian diri.
  4. Melaksanakan tuntutan syariat.
  5. Menjaga keturunan.
  6. Sebagai media pendidikan : Islam begitu teliti dalam menyediakan persekitaran yang sihat bagi membesarkan anak-anak. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa perhubungan ibu bapa akan memudahkan si anak terjerumus dalam kegiatan tidak bermoral. Oleh itu, institusi kekeluargaan yang disyorkan Islam dilihat medium yang sesuai sebagai petunjuk dan pedoman kepada anak-anak.
  7. Mewujudkan kerjasama dan tanggungjawab.
  8. Dapat mengeratkan silaturahim.
Bayar Mas Kahwin Atau Mahar

Mahar ialah pemberian yang wajib diberikan oleh lelaki kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya. Ia juga disebut sebagai mas kahwin. Hukumnya adalah wajib berdasarkan sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian Yang wajib. kemudian jika mereka Dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat Yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (An-Nisa : 4)

Jumlah mahar yang wajib dibayar akan ditentukan oleh walinya jika perempuan itu masih kecil, tetapi sudah baligh atau janda boleh ditentukan oleh perempuan itu sendiri. Mahar boleh dibayar dengan pelbagai cara yang mempunyai nilai atau faedah tertentu berdasarkan persetujuan bersama seperti rumah, kebun, mengajar atau membaca al-Quran, mengajar ilmu agama, senaskah kitab al-Quran, sejadah sembahyang, pakaian sembahyang atau sebagainya.

Walimatulurus Secara Islam

Walimatulurus atau kenduri kahwin sunat(seperti majlis santapan makanan)diadakan dan menerima jemputannya adalah wajib (terdapat ulama mengatakan sunat). Ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai mengenai perkahwinan tersebut, mengelakkan sangkaan buruk orang ramai sekiranya terjadi sesuatu perkata dan saudara mara dapat menyaksikan sendiri pernikahan mereka dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga mereka.

Terdapat beberapa adab dalam walimatulurus seperti dilakukan selepas akad nikah; menjemput jemputan mengikut keutamaan seperti didahulukan saudara-mara, kaum kerabat dari kedua-dua pihak, jiran dan rakan kenalan; bagi pengantin wanita hendaklah mengikut sunah Nabi Muhammad SAW dengan cara bersederhana dan tidak unsur mehah, maksiat dan kemungkaran; dilarang sama sekali berhutang yang membebankan.

Dalam menganjurkan agenda berkaitan Walimatulurus, etika berbudaya mengikut adat resam bangsa masing-masing adalah dibolehkan,namun perlu diingat agar penganjurannya perlulah selari dengan apa yang dianjurkan oleh Islam tanpa mempunyai rasa gharar (was-was) dalamnya. Juga tidak mempunyai pengaruh adat berunsur keagamaan dan kepercayaan yang dicedok dari agama lain. Islam melarang aktiviti persandingan seperti yang menjadi adat kebiasaan dalam masyarakat melayu khususnya kerana perbuatan tersebut telah menampakkan pengaruh Hindu-Buddha, seperti aktiviti merenjis dan menepung tawar, selain memperlihatkan pasangan pengantin yang bergaya dan bersolek secara terus kepada hadirin. Hal ini akan pasti akan menimbulkan rasa bangga oleh pasangan pengantin dan menimbulkan rasa (seperti cemburu,gersang dan was-was) dari kalangan hadirin yang melihat aktiviti persandingan tersebut.

Pinjam Bank Untuk Kahwin

Saya akui kos perkahwinan dan mas kahwin sekarang ini sangat mahal sehingga boleh diibaratkan seperti ibu bapa menjual anak perempuannya. Malah perkara ini menjadi budaya dalam masyarakat melayu berlumba-lumba meletakkan mas kahwin dan hantaran yang mahal, kerana itu adalah kebanggaannya dan akan menjadi sebutan orang kampung.

Perlu kita ketahui bahawa hantaran itu merupakan perkara yang tidak wajib. Tidak menjadi masalah kalau hantaran itu tiada dan perkahwinannya juga tetap sah. Hantaran ini diadakan adalah untuk membantu keluarga perempuan untuk menyediakan majlis walimatulurus supaya perkahwinan anaknya dapat diistiharkan kepada orang kampung dan kaum kerabat. Tetapi sekarang ini saya lihat budaya itu telah berubah, ada yang mengambil hantaran untuk keuntungan peribadi, ada yang meletakkan hantaran dengan harga tinggi untuk berbangga, ada yang ingin menunjuk-nunjuk dan banyak lagi.

Ini secara tidak langsung menjadi bebanan kepada pengantin lelaki untuk menyediakan wang yang banyak sebagai kos untuk melangsungkan perkahwinan beliau. Islam telah menggariskan bahawa perlansungan perkahwinan itu secara sederhana sahaja dan tidak bermegah-megah dan tidak membebankan. Hal ini semualah yang menyebabkan berlakunya pinjaman bank, ah long dan sebagainya untuk melangsungkan perkahwinan.

Pinjaman bank untuk melangsungkan perkahwinan adalah harus, tetapi ia bergantung kepada niat kita, kalau meminjam semata-mata untuk melaksanakan perkahwinan yang besar, terdapat pula di dalamnya persandingan, lagu-lagu yang tidak baik dan perkara-perkara yang diharamkan, maka itu adalah haram sebab di situ jelas melanggar batas syariat Islam. Tetapi kalau kita meminjam untuk melaksanakan kenduri yang sederhana dan tidak bertentangan dengan syariat disebabkan memang duit yang dikumpulkan tidak mencukupi, maka itu adalah harus. Pinjaman yang di buat mestilah dari pinjaman syariah, kalau pinjaman yang berunsurkan riba, maka itu adalah haram. Mudah sahaja untuk mengetahui pinjaman syariah ataupun tidak, anda semua boleh lihat di dalam iklan pinjaman ada tertulis huruf “i”, maka itu melambangkan pinjaman itu secara syariah. Terlebih baik, elakkan meminjam bank, kerana pinjaman ini terlibat dengan perkara-perkara yang subhah atau ragu-ragu halal dan haramnya, hal ini juga akan membuatkan perkahwinan itu akan hilang keberkatannya.

Sebagai usaha yang baik untuk mengelakkan pinjaman, pihak penganting lelaki dan perempuan perlu berpakat dan perlu bersatu dan mengurangkan kos perbelanjaan perkahwinan, buang acara-acara yang membazir seperti persandingan, DJ, sound sistem, mak andam dan kos-kos yang tidak penting. Penganting lelaki dan perempuan perlu berpakat dan berusaha mengumpulkan duit dari awal sebagai persediaan awal, kalau itu tak cukup juga, cuba minta sponsur keluarga yang terdekat, kalau itu tak cukup juga, maka barulah buat pinjam sebahagian yang tidak cukup sahaja dari bank.

Tujuan perkahwinan adalah mencari kebahgiaan dan keberkatan, awalilah perkahwinan itu dengan nilai-nilai Islam supaya ia menjadi berkat dan dirahmati Allah, buatlah kenduri yang dikehendaki oleh Islam iaitu sederhana dan tinggalkan adat-adat yang sesat dalam perkahwinan. Jangan jadikan kenduri perkahwinan itu dicampur adukkan perkara yang haram dan halal, kerana kenduri tersebut akan menjadi haram. Kalau kenduri dah jadi haram, maka hilanglah keberkatannya, dan disebabkan itulah berlakunya pergolakkan rumahtangga, penceraian, perkelahian dan sebagainya. Sebelum ini saya telah siarkan satu artikel yang bertajuk Jangan Berlebihan dan Menunjuk-nunjuk Dalam Perkahwinan. Sila klik sini untuk membacanya.

Nasihat Saya

Lihat dari hikmah perkahwinan ini adalah untuk menyatukan dua buah keluarga dan mengeratkan silatulrahim antara keluarga lelaki dan perempuan. Sebagai keluarga belah perempuan, pertimbangkan dahulu keupayaan bakal menantunya dari segi ekonominya dan taraf kehidupannya. Kalau didapati bakal menantunya dari golongan bawahan atau pertengahan, maka sesuaikanlah hantaran itu dengan ekonominya, supaya bakal menantunya dapat menyediakan kos perkahwinan tanpa pinjaman bank dan sebagainya. Ambillah sekadar untuk melaksanakan kenduri yang ringkas dan sederhana sahaja. Biar kenduri itu tidak besar, tetapi penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah. Fikirkan kehidupan anak perempuan dan suaminya selepas perkahwinan nanti, supaya mereka tidak dibelenggu dengan bebanan hutang perkahwinan.

Sumber : thanks to Ustaz

Nov 10, 2011

Jangan Berlebihan & Menunjuk-nunjuk Dalam Perkahwinan

"Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani"

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua yang sudi mengunjung blog saya, syukur Alhamdulillah. Semoga kamu semua mendapat rahmat Allah SWT yang tak terhingga. Hari ni saya nak berkongsi sedikit tentang perkahwinan sesuailah dibace oleh yang bakal mendirikan rumah tangga. Saya kongsikan coretan ini dari blog seorang Ustaz, maklumlah saya ni masih bujang dan memang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi sebelum tu saya kenelah banyak pelajari ilmu-ilmu rumah tangga. Saya tertarik dengan coretan ustaz ni mengenai masalah-masalah yang timbul semasa melaksanakan perkahwinan. Mari kawan-kawan kita baca apa yang disampaikan oleh Ustaz. 'Sharing is Caring'

Salam persahabatan kepada semua, mudah-mudahan anda semua dirahmati Allah. Musim percutian adalah musim kenduri perkahwinan yang menyatukan antara lelaki dan perempuan dalam ikatan perkahwinan yang sah. Perkahwinan dalam Islam adalah merupakan sunnah Rasulullah saw yang menggalakkan umatnya yang berkemampuan untuk berkahwin. Fadhilat perkahwinan sangat besar kepada sesiapa yang akan dan telah mendirikan rumahtangga. Di antara fadhilatnya ialah terhindar dari perbuatan maksiat, terhindar dari penyakit, sihat anggota badan, fikiran menjadi tenang, memiliki zuriat, memperolehi pahala, solat menjadi khusuk dan sebagainya.

Untuk memperolehi perkahwinan yang diberkati oleh Allah, mestilah setiap pasangan mengikuti sunnah Nabi Muhammad saw. Perkahwinan tidak boleh berlebih-lebihan, tidak boleh keterlaluan, tidak boleh bermegah-megah, tidak boros, tidak menjadikan kenduri sebagai tempat membuat maksiat, pengantin menutup aurat, tidak bersanding kepada orang ramai, tidak mencampurkan budaya Islam dan budaya bukan Islam dan banyak lagi. Tetapi malangnya umat Islam di Negara ini tidak melaksanakan perkahwinan mereka secara Islam, mereka hanya mengikut syariat Islam ketika hendak akad nikah di masjid, sewaktu pertunangan dan waktu-waktu upacara keagamaan sahaja. Sebab itulah, orang sekarang ini banyak yang bercerai dan banyak menghadapi masalah dalam rumahtangga mereka. Ada yang berkahwin tidak sampai setahun bercerai, ada belum kenduri lagi sudah bercerai, ada kawin pagi malam sudah bercerai dan berbagai-bagai lagi. Akhir sekali anak-anak yang menjadi mangsa, anak-anak diabaikan sehingga mereka terjebak dalam masalah sosial dan sebagainya. Ini salah siapa dan tanggungjawab siapa? Fikir-fikirkanlah jawapannya….

Pandangan Saya Mengenai Masalah ini

Orang sekarang ini dikenali segabai orang moden dan tidak lagi mengamalkan adat-adat atau syariat Islam dalam perkahwinan mereka. Orang sekarang bercinta dahulu sehingga kenal habis semua sifat dan tingkah laku pasangan mereka. Ada pasangan sehingga terlanjur melakukan zina atau maksiat dengan alasan mereka saling mencintai dan akan berkahwin kemudian. Orang yang tahu sikit-sikit agama, menggunakan alasan agama dalam menghalalkan percintaan mereka untuk meneruskan niat dan keinginan nafsu mereka, alasan mereka ialah bercinta tidak menjadi masalah selagi mana cinta itu tidak laqa (lalai) dan cinta untuk mencari pasangan mereka untuk dijadikan isteri atau suami yang sah.

Sebenarnya Islam telah mengajar umatnya untuk menjalinkan percintaan sesama manusia. Islam mempunyai kaedahnya yang tersendiri seperti merisik, meminang, akad dan kahwin (kenduri). Inilah cara Islam untuk mencari jodoh dan menjalinkan hubungan antara lelaki dan perempuan. Kalau dilihat orang tua-tua dahulu berkahwin tanpa kenal dan cinta, mereka bercinta dan kenal selepas mereka kahwin, mereka kekal bahagia. Sebenarnya tiada istilah bercinta dahulu sebelum berkahwin, sebab orang yang bercinta dahulu sebelum kahwin, lazimnya mereka akan rasa jemu dengan pasangan mereka sebab mereka telah mengetahui segalanya tentang pasangan mereka semasa bercinta. Pasangan yang pernah melakukan maksiat, berpegangan tangan dan sebagainya, maka Allah akan menarik nikmat tersebut ketika mereka telah berkahwin nanti.

Hantaran berlebihan dan menyukarkan bakal suami untuk berkahwin, hal ini memang saya tidak setuju dengan sesetengah masyarakat yang meletakkan harga hantaran begitu tinggi. Kononnya anak mereka kelulusan tinggi, anak perempuan mereka cantik dan sebagainya. Saya nasihatkan kepada semua, janganlah meletakkan harga hantaran berlebihan dan jangan sesekali memberatkan bakal suami dengan masalah hantaran ini. Ambillah hantaran dengan sekadarnya sahaja untuk melepaskan kos perbelanjaan kenduri dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Biarlah hantaran dan mas kahwin sekadarnya sahaja dan tidak memberatkan bakal suami, kerana sesiapa yang mengambil hantaran dan mas kahwinnya sekadar kemampuan bakal suaminya, maka perkahwinan mereka akan diberkati Allah. Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud :

"Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya." (HR Ahmad, al-Hakim dan Baihaqi).

Pasangan yang ingin berkahwin dengan membuat pinjaman bank untuk perbelanjaan perkahwinan mereka kurang keberkatannya, kerana duit dari hasil hutang, sedikit sebanyak akan tersangkut dengan riba bank, apabila wang perkahwinan bukan dari sumber titik peluh sendiri, maka kurang rasa kesusahan dan kenikmatannya apabila memiliki seorang isteri. Biar susah mengumpulkan duit untuk berkahwin, apabila dapat isteri dengan titik peluh empat kederat sendiri, kita akan rasa satu kepuasa dan kenikmatannya, kerana isteri yang diidamkan selama ini dapat dengan penat lelah sendiri. Pepatah melayu mengatakan bahawa “selalunya perkara yang susah dimiliki ini akan dihargai dan akan dijaga sebaik mungkin.”

Sebenarnya boleh buat pinjaman bank untuk perbelanjaan kahwin jika tidak berkemampuan setelah berusaha, memang duit yang dikumpulkan tidak mencukupi juga, kerana gaji bulanan sangat kecil. Maka bolehlah untuk buat pinjaman perbelanjaan kahwinnya. Elakkan tunggakkan hutang kahwin tidak berbayar, kerana dikuatiri perkahwinannya tidak berkat dan menghadapi masalah dihari akan datang nanti. Perbelanjaan kahwin ini biarlah dari sumber rezeki yang halal dan berkat, kerana hal ini mempengaruhi perkahwinan dan zuriatnya. Apabila rezeki yang halal digunakan sebagai perbelanjaan kahwinnya, maka Allah akan menurunkan keberkatan kepadanya dan keluarganya, Allah akan sentiasa memelihara keluarganya dari perkara-perkara maksiat dan dosa.

Kenduri kahwin yang berlebihan akan berlakunya pembaziran dan kelalaian dan jauh dari apa yang dikehendaki oleh syariat Islam. Masyarakat sekarang berbangga dengan dirinya apabila melaksanakan kenduri besar, kenduri yang hebat, ada lagu, ada DJ, ada persandingan, ada persembahan silat dan banyak lagi. Cuba fikir, sebenarnya kenduri kahwin ini hendak mencari keberkatan atau hendak mencari kemegahan? Jika hendak mencari keberkatan, biarlah kenduri itu dihiasi dengan perkara-perkara yang berlandaskan dengan syarak Islam. Jangan adakan persandingan, jika adapun biarlah bersanding dihadapan keluarga sahaja atau ditempat yang tertutup, bukan untuk ditunjukkan kepada tetamu yang datang. Pakaian penganting mestilah menutup aurat dan tidak bersalaman dengan bukan muhrim, kerana perkara yang haram tetap haram dan perkara yang halal tetap halal. Jangan memasang lagu-lagu yang laqa (lalai) atau berunsurkan cinta dunia, lagu Hindustan, lagu melayu dan sebagainya, kerana malaikat tidak datang ke kenduri yang memasang lagu-lagu lalai untuk memberikan rahmat. Boleh untuk berlagu, tetapi biarlah lagu-lagu nasyid, selawat dan bacaan Al-Quran. Firman Allah yang bermaksud :

"Janganlah kamu bertabarruj (menunjuk) seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab : 33).

Carilah keberkatan dalam perkahwinan kita semua, kerana keberkatan itulah yang akan membuatkan perkahwinan kita kekal bahagia, biarlah perkahwinan berlandaskan kepada syariat Islam, alam berumahtangga memerlukan orang yang menghayati Islam untuk membimbing keluarganya kearah yang dikehendaki oleh Islam. Keluarga bahagia ini mestilah berlandaskan Islam dalam semua amalan rumahtangga mereka. Anak-anak yang akan dilahirkan juga akan mudah ditarbiah, mudah ditegur dan taat kepada kedua ibu bapa, kerana ibu bapa tersebut meletakkan prinsip perkahwinan Islam ketika mencari jodoh, semasa kahwin dan selepas kahwin. Maka sebab itulah mereka memperolehi zuriat yang baik. Apabila keluarga yang mengamalkan kehidupan Islam, maka secara tidak langsung akan melahirkan masyarakat Islam yang saling hormat menghormati, ingat mengingati antara satu sama lain dan beriman dan bertaqwa kepada Allah. Dari sinilah masyarakat Islam dapat digelar sebagai ummatan wasatan (umat pertengahan) dan khairul ummah (umat terbaik).

Sumber : Ustaz Nor Amin

Nov 9, 2011

~WORDLESS WEDNESDAY~

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Alhamdulillah segalanya telah selesai, hari ni wordless ye so saya tak boleh nak cerita lebih panjang. Saya kongsikan beberapa keping gambar sepanjang Majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Sektor Awam Peringkat Kebangsaan Kali ke-28 Tahun 2011.
Bersama tetamu VVIP, Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Sidek bin Haji Hassan Ketua Setiausaha Negara
Penerima Anugerah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) - RM7,500
Pejuang wanita HYBRID
Dari kiri : Pn. Noorasikin, Cik Nurhazwani (saya), Pn. Rageni, Pn, Iyiana  & Pn. Noraini
Jejaka HYBRID
Dari kiri : En. Izuddin, En. Sharulfaizal, En. Syahrul Nizam
Wakil dari Negeri Sembilan
Kumpulan HYBRID (Pejabat SUKNS) & Progresif & Dedikasi (BOMBA)
Bersama Dato' Zakaria (mentor kami)
Berbincang sebelum sesi soal jawab dengan panel juri
Banting kump. HYBRID
Sebelum majlis bermula, bergambar di booth pameran kami
Cik presenter kumpulan HYBRID..:)

Sekian saja dari saya. Hobin HYBRID Hobin..Wassalam..:)