Sejarah menggambarkan betapa tawakalnya Rasulullah s.a.w. hinggakan apabila beliau nampak musuh sedikitpun beliau tidak merasa takut dan gentar. Malah beliau masih mampu berjalan di hadapan musuh itu kerana beliau tahu dan yakin bahawa kalau Allah tidak takdirkan yang beliau mati di tangan musuh, maka keselamatan dirinya tetap dijamin Allah. Firman Allah: “Tidak akan menimpa musibah bala bencana melainkan apa yang Allah telah tulis.” Sebab itu, ketika beliau berjalan di hadapan musuh, mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Begitu kuat sekali pergantungan diri Rasulullah dengan Allah.
Inilah yang susah hendak kita lakukan. Kita lebih kuat bergantung dengan diri kita sendiri, kesihatan dan tenaga kita atau kita lebih tawakal dengan harta kita hingga merasakan yang harta kita itu akan menjamin kesenangan kita di masa hadapan ataupun kita lebih bertaqwa kepada orang lain atau makhluk-makhluk. Inilah tahap tawakal kita yang mana kita rasa semua itu memberi bekas. Padahal, bukankah yang memberi bekas sebenarnya ialah Allah?
Kemudian Al Quran menyuruh redha kepada apa yang Allah timpakan, maka Rasulullah berlaku redha. Dalam hal ini Rasulullah pernah bersabda: “Aku redha Allah itu sebagai Tuhan.” Ertinya, kalau Rasulullah redha Allah sebagai Tuhan, maka beliau juga redha apa yang Allah timpakan ke atasnya.
Seterusnya Al Quran menyuruh bersifat zuhud, Rasulullah boleh berlaku zuhud. Zuhud ertinya ialah sifat orang yang tidak terpaut kepada dunia dan kebendaan walaupun dia sedang berhadapan dengan dunia dan kebendaan. Seandainya dunia dan kebendaan itu berada dalam tangannya, namun hatinya tidak terpikat kepadanya.
Kemudian dalam keadaan dia berhadapan dengan dunia dan kebendaan itu, dia tidak dapat memilikinya, hatinya tidak akan kecewa walau sedikitpun. Ertinya orang yang zuhud tidak peduli samada dia dapat dunia atau tidak. Tetapi orang yang tidak bersifat zuhud akan berhempas pulas dan bermati-matian untuk mendapatkan dunia, tetapi apabila dia gagal dia akan merasa kecewa yang amat sangat, kalau berjaya hati dan perasaannya akan hanya tertumpu kepada kebendaan itu sahaja. Soal zuhud merupakan rahsia hati.Bagi orang zuhud ada dengan tiada sama sahaja. Kalau ada dia akan mengendali- kannya denga baik kerana itu adalah pemberian Allah. Dia tidak boleh mempersia-siakannya kerana takut berdosa kerana membazir. Apabila harta itu ditarik oleh Allah semula dia tidak akan merasa kecewa atau sakit hati keran.a dia tidak terpaut dengan harta itu. Orang yang ada harta tetapi bersifat zuhud, dia akan mudah mengorbankan hartanya untuk umat Islam. Kerana itu zuhud bukan bererti tidak ada kekayaan atau pangkat tetapi zuhud menunjukkan sifat seseorang yang tidak terpaut padanya. Ertinya bukanlah orang yang hidup miskin papa itu zuhud sedangkan hatinya terpaut kepada kekayaan dunia. Cuma kekayaan itu tidak berjaya dimilikinya. Namun hatinya tetap berkeinginan untuk memilikinya hingga menyebabkan dia akan bersusah hati kerana tidak berjaya memperolehinya. Tetapi apabila berjaya memilikinya misalnya kekayaan, ketika itu hatinya tetap susah juga kerana dia takut kekayaannya dicuri atau ditarik balik oleh Allah. Jadi, orang yang tidak zuhud akan menderita jiwanya.
Kemudian Al Quran menyuruh bersifat malu, Rasulullah juga bersifat malu. Malunya Rasulullah adalah lebih malu daripada gadis salafussoleh yang malu. Ukuran pemalu ini adalah terhadap gadis zaman dahulu yang pemalu bukan zaman sekarang. Kemudian kesolehahannya itu bertambah-tambahlah pemalunya. Dengan yang demikian, oleh kerana akhlak Rasulullah itu seperti Al Quran, maka kita juga adalah diperintahkan supaya mengikut akhlak Al Quran. Walaupun kita tidak mampu hendak berakhlak semacam Rasulullah tetapi jika kita dapat mengikut sebahagian daripadanya pun cukuplah. Demikianlah bagaimana Allah memberi peringatan kepada kita supaya mengikuti apa kehendak Rasulullah s.a.w. Dan firman Allah kepada Rasulullah s.a.w: “Katakanlah (ya Muhammad): Jika kamu benar-benar kasihkan Allah, hendaklah kamu ikut Aku. Nescaya Allah akan cintakan kamu.”
Ertinya Rasulullah telah mengikut apa perintah Allah di dalam Al Quran hingga Rasulullah berakhlak A1 Quran dan mendapat kasih sayang Allah.
Akhlak adalah terbahagi kepada dua:
1. Yang pertama ialah akhlak kita kepada Allah
2. Yang kedua ialah akhlak kita kepada manusia.
Akhlak kita kepada Allah ialah, kita mesti mengaku Allah itu sebagai Tuhan dan kepadaNya sahajalah yang kita sembah. Dan kita redha pula apa yang Allah takdirkan kepada kita. Selain dari itu, hati kita mestilah sentiasa merasakan kehebatan Allah. Sebab Allah itu Maha Gagah dan Maha Perkasa. Sebab itu orang mukmin hatinya memang sentiasa hebat kepada Allah. Firman Allah, maksudnya: “Sesungguhnya orang mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, rasa gementar di dalam hatinya dan apabila dibaca saja ayat Quran, mereka terus beriman kepada Allah dan menyerah diri.”
Rasa hebat kepada Allah ini merupakan akhlak kita kepada Allah. Ini adalah kerana orang yang merasa hebat kepada Allah boleh mengawal dirinya daripada melakukan kejahatan. Selain dari itu rasa hebat kepada Allah juga adalah tanda akhlak kita kepada Allah.
Termasuk juga akhlak kita sesama manusia ialah nasihat menasihati sesama kita dengan penuh kasih sayang serta dengan penuh rasa hormat, bukan dengan mencerca serta umpat keji. Lazimnya, inilah yang kita lakukan iaitu apabila seseorang itu lakukan kemungkaran, kita cerca dia serta kita bongkarkan kemungkarannya kepada orang ramai dengan tujuan memberi malu kepadanya. Perbuatan ini tidak termasuk dalam lingkungan nasihat menasihati antara satu sama lain. Ini adalah perbuatan menghina dan mengumpat yang mana samalah seperti membasuh najis dengan dengan air najis.
Menunaikan janji serta berlemah lembut sesama manusia adalah merupakan akhlak kita kepada manusia. Bila kita berjanji, hendaklah kita tunaikan. Selain dari itu menutup aib seorang yang lain juga merupakan akhlak. Walau benar dia melakukan kesalahan janganlah kita isytiharkan kepada umum. Menerima keuzuran seorang mukmin itu dengan lapang dada. Katalah seorang itu terpaksa memungkiri janjinya kerana keuzuran. Maka haruslah kita terima keuzurannya dengan lapang dada. Tidak mengumpat juga termasuk dalam akhlak kita sesama manusia. Hal ini amat berat untuk dielakkan kerana mengumpat adalah perbuatan yang paling seronok dan paling boleh menarik ramai orang. Padahal mengumpat termasuk dalam katagori dosa besar.
Pernah ditanya sahabat-sahabat kepada Rasulutlah bahawa sekiranya apa yang diumpat itu benar maka itu memang mengumpat jika salah itu fitnah. Dalam hal ini Rasulullah telah bersabda yang maksudnya: “Fitnah itu lebih besar daripada membunuh.”
Kemudian, tidak menjatuhkan air muka orang lain di khalayak ramai, menolong seseorang itu ketika dia susah adalah di antara akhlak kita sesama manusia. Maka kita dapati di sini bahawa akhlak manusia itu tcrbahagi kepada dua iaitu kepada Allah dan kepada manusia. Perlulah kita ada kedua-duanya serentak dalam diri. Begitulah yang perlu ada pada setiap mukmin.
Sumber : Usaha Taqwa
1 comment:
kak long weih..jom minum, tose madhinah nak mangil2..
Post a Comment